Tuesday 20 November 2012

Travelog Rindu Cinta - Bab 6 : Ekspresi al-Shabwah


AL-SHAWAH membawa maksud kerinduan yang juga terkait dengan perasaan cinta. Kerinduan itu pasti banyak jenis ragam caranya. Malah kerinduan sering menjadi mauduk kepada segala pencinta Tuhan dalam mengekspresikan kebergantungan mereka kepada Sang Pencipta.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. mengatakan al-Shabwah juga termasuk istilah cinta. Dikatakan dalam al-Shahhah:

“Al-Shabwah termasuk jenis kerinduan. Jika dikatakan, ‘Tashaba wa shaba yashbu shabwah shubuw’ membawa erti cenderung kepada kebodohan.’Jika dikatakan, ‘Ashbathul-jariyatu wa shabiya shaba’an,’ ertinya bermain dengan anak-anak.”

Menurut pendapat Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h., asal makna perkataan ini adalah cenderung seperti yang dikatakan, “Shaba ila kadza,” ertinya cenderung kepada sesuatu.

Cinta disabitkan dengan kalimah shabwah kerana pelakunya yang cenderung kepada wanita seakan bersifat keanak-anakan. Konotasinya ada perkaitan dengan firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi daripada orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.” (Surah Yusuf, ayat 33)

Yusuf muda yang bekerja dengan al-Aziz kemudian menjadi buruan hawa nafsu dan cinta buta kepada imraah (isteri) al-Aziz. Lantas ayat di atas menggambarkan pendirian tegas Yusuf muda yang selayak menjadi pedoman kepada para pemuda-pemudi masa kini.

Latar di sebalik kecenderungan

Sebagaimana yang diketahui daripada al-Quran, Surah Yusuf yang merupakan surah yang kedua belas daripada 114 surah dan mempunyai 111 ayat adalah satu-satunya surah yang mempunyai kesinambungan kisah yang bersifat kronologi.

Surah Yusuf sangat kaya dengan unsur estetika sebuah karya sastera (sebagaimana yang difahami dalam teori sastera konvensional masa kini) – unsur seperti watak dan perwatakan, latar, plot, dialog, sudut pandangan dan lain-lain.

Namun menyamakan ia dengan sebuah karya manusia adalah sesuatu yang tidak wajar, kerana al-Quran adalah mukjizat dan tujuan kisah-kisah dalam al-Quran adalah sangat berbeza dengan matlamat penciptaan karya sastera manusiawi khususnya yang berkiblatkan teori Barat kerana meletakkan hiburan dan nilai estetika sebagai matlamat pengkaryaan.

Sedangkan kisah-kisah dalam al-Quran terlepas daripada rekaan dan khayalan manusiawi serta bertujuan untuk menyampaikan hikmah kebijaksaan sebagai pengajaran dan panduan kepada manusia, ini merujuk kepada firman Allah yang bermaksud:

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datang wahyu itu, adalah daripada orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.” (Surah Yusuf, ayat 3)

Sekali lagi sebagai penutup surah ini Allah menjelaskan sejelasnya mengapakah wahyu itu adalah daripada kisah-kisah terdahulu dengan firmannya yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) ia bukan cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)

Membaca kisah benar

Al-Quran yang kaya dengan kisah-kisah masa lampau yang penuh dengan ibrah itu wajar dilumati oleh setiap insan yang bergelar Muslim. Setiap daripada kisah agung tersebut perlu dilumati dan diminati melebihi novel-novel yang sedia diminati dan digilai masa kini.

Tidak hairanlah, mengapa pengarang novel fenomenal Ayat-Ayat Cinta, Habiburrahman el-Shirazy atau lebih dikenali sebagai Kang Abik menisbahkan surah dan kisah yang panjang seperti Surah Yusuf seperti novel dan kisah-kisah yang pendek seperti cerpen.


Sunday 18 November 2012

Travelog Rindu Cinta - Bab 5 : Ekspresi al-Hawa


Al-HAWA yang membawa maksud hasrat, nafsu dan keinginan menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h., sangat sinonim dengan perbuatan yang berlawanan dengan perbuatan yang baik. Malah dalam tradisi bahasa Melayu, perkataan al-hawa ini dipinjamkan dan digandingkan pula dengan perkataan nafsu maka jadi serangkap kata hawa nafsu.

Tidak dapat dinafikan sifat cinta buat sekian lama sudah dinodai tatkala nafsu yang tidak dikekang sebaiknya memandu diri melebih akal dan ilmu yang benar sehingga membawa kepada pelbagai kemudaratan.

Sama ada hawa atau nafsu kedua adalah ciptaan azali Allah dalam diri seseorang manusia lelaki mahupun perempuan. Syaitan yang merupakan sifat yang sangat akrab dengan nafsu dan hawa sentiasa dijadikan agenda oleh Iblis laknatullah untuk memerangkap seorang anak Adam ke lembah kehinaan yang mengakibatkan kesesatan kepadanya.

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali r.h. pernah membicarakan secara tuntas darihal nafsu dalam banyak karya beliau khususnya dalam magnum opusnya, Ihya Ulumuddin. Antara analisis yang beliau kemukakan adalah nafsu bagi seorang wanita adalah sembilan daripada sepuluh manakala nafsu lelaki adalah satu daripada sepuluh.

Manakala akal bagi seorang lelaki adalah sembilan daripada sepuluh dan bagi wanita pula adalah satu daripada sepuluh. Namun Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam sebuah makalah beliau menjelaskan bahawa konotasi nafsu di situ sebagai terjemahan dan kefahaman adalah kurang tepat, yang setepatnya adalah emosi.

Semestinya emosi seorang wanita sentiasa melebihi emosi seorang lelaki dalam apa keadaan dan cara sekalipun. Demikian banyak kelebihan dan ujian yang Allah ciptakan untuk wanita tidak kepada lelaki. Ini adalah kerana kehebatan dan kekuatan seorang wanita adalah pada emosinya sedangkan lelaki pada akalnya.

Hawa, nafsu dan seks

Bukan hanya kepada seks, namun sifat berkehendak yang berdasarkan hawa dan nafsu ini boleh sahaja menjalar dalam apa jua keadaan dan kemahuan seperti dalam pemakanan, pemakaian dan selainnya.

Mereka yang berkehendak tanpa ada batasan dan kawalan daripada diri sendiri maksudnya sampai satu tahap mereka tidak mampu mengawal diri sendiri dan melanggar batas akidah dan syarak.

Allah berfirman yang bermaksud:

Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhan, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya syurga adalah tempat kediamannya.” (Surah al-Nazi’at, ayat 40-41)

Dalam ayat di atas jelas dinyatakan bahawa mereka yang menahan diri mereka daripada menuruti hawa nafsu mereka maka balasan di akhirat kelak adalah syurga. Ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran kepada mereka yang mujahadah (bersungguh-sungguh) dalam memeranginya.

Realiti zaman ini

Semakin ramai pasangan berkahwin muda atau semasa masih bergelar siswa, bagi mereka yang berhujah bahawa dengan cara itu mereka akan terhindar daripada maksiat sementelah suasana yang penuh ikhtilat (percampuran) antara siswa dan siswi, kita katakan ada benarnya.

Namun apakah sebuah perkahwinan adalah semata-mata untuk membendung nafsu syahwat? Bagaimana bagi mereka yang mencari jalan penyelesaian dengan berkahwin kemudian nafsu mereka masih juga tidak terbendung?

Antara tujuan perkahwinan adalah untuk menyalurkan dan melepas nafsu syahwat yang sememangnya secara fitrah Allah ciptakan pada setiap insan pada tempatnya dengan menghalalkan yang haram bagi diri mereka masing-masing antara suami dan isteri.

Namun menjadikan perkahwinan sebagai kambing hitam atas kelemahan diri sendiri adalah sesuatu yang tidak wajar kerana jika kelemahan itu tidak diatasi, ia tetap adalah kelemahan bagi seseorang itu. perkahwinan perlu berlangsung atas kefahaman perkongsian kehidupan – suka dan duka, amanah dan tanggungjawab sebagaimana yang digariskan oleh al-Quran dan sunnah.


Friday 16 November 2012

Travelog Rindu Cinta - Bab 4 : Ekspresi al-‘Alaqah


Al-‘ALAQAH dari segi maksudnya adalah segumpal darah beku dan juga digunakan untuk cinta atau hubungan. Ia juga disebut sebagai al-‘Alaq, sebagaimana al-Falaq yang merupakan satu daripada kebanyakan istilah berkaitan cinta. Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam mengambil pandangan al-Jauhari, al-‘Alaq juga beerti nafsu yang sinonim dengan ungkapan “Pandangan yang dimuati nafsu”.

Dalam al-Quran, perkataan al-‘Alaqah atau al-‘Alaq agak sinonim kerana tidak lain adalah merupakan nama surah pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa yang berlaku dalam Gua Hirak tatkala usia Baginda genap 40 tahun itu adalah titik mula kepada sebuah revolusi insani yang tidak pernah terjadi sebelumnya atau akan terjadi selepasnya.

Baginda didatangi oleh Saidina Jibril a.s. yang berupa manusia lantas mendakap kejap kemudian dilonggarkan dari belakang Baginda dan berkata, “Bacalah.”

Lalu Baginda menjawab, “Aku tidak tahu membaca!”

Sekali lagi dakapan dikejapkan kemudian dilonggarkan seraya Baginda disuruh, “Bacalah.”

Sebagaimana sebelum jawapannya adalah, “Aku tidak tahu membaca!”

Kali ketiga Baginda dilontarkan dengan suruhan yang sama dengan keadaan yang sama juga dan jawapannya tetap sama, sehingga Saidina Jibril membawa lima ayat daripada Surah al-‘Alaq yang kemudian dituruti oleh Baginda s.a.w.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)” (Surah al-‘Alaq, ayat 1-5)

Barangkali kalimah al-‘Alaq sempena nama surah barangkali diangkat daripada kalimah al-‘Alaq pada ayat kedua dalam surah ini. Dengan jelas di sana yang dimaksudkan dengan al-‘alaq adalah segumpal darah beku. Justeru apakah salah jika kita katakan penurunan al-Quran yang dimulakan dengan lima ayat tadi adalah juga atas dasar cinta dan hubungan Allah dengan Nabi Muhammad s.a.w.?

Apakah salah jika dikatakan penurunan surah ini khususnya dan ak-Quran umumnya adalah suatu manfestasikan kecintaan Allah kepada Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. dan umat manusia keseluruhan. Jelas, kerana rahman dan rahim sahaja manusia mendapat apa yang mereka ada sekarang ini.

Proses kejadian manusia juga adalah manifestasi kasih sayang Allah

Allah berfirman yang bermaksud:      

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) daripada tanah. (12) Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. (13) Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi segumpal darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyata kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (14)” (Surah al-Mukminun, ayat 12-14)

Bukankah kejadian manusia bermula daripada hubungan suami isteri yang halal yang terjalin atas nama kasih sayang dan cinta serta penghormatan adalah suatu manifestasi kasih sayang Allah kepada hamba-Nya?    

Peringkat-peringkat kejadian yang begitu rinci dan berperingkat, begitu sempurna sesuai dengan kemuliaan manusia yang dilahirkan dengan fitrah yang suci. Menggambarkan betapa Islam adalah sebuah agama yang sentiasa bertunjang atas kerahmatan, kasih sayang, toleransi dan keteraturan.

Jauh sebelum sains menjumpai kaedah proses kejadian bayi dalam rahim seorang ibu sehingga tempoh matang biasa sembilan, ternyata al-Quran sudah sekian lama memberitahu. Malah kandungan tempat bayi itu mengalami proses juga dinamakan sebagai rahim yang membawa maksud sayang.

Penghormatan yang berkait langsung dengan al-‘Alaq dalam konteks yang dibincangkan di atas banyak tertumpu kepada hamba Allah yang bernama perempuan! Beruntung yang bernama perempuan itu….
 

Wednesday 14 November 2012

Travelog Rindu Cinta - Bab 3 : Ekspresi al-Mahabbah


AL-MAHABBAH yang membawa maksud asal jernih dan bersih, menjadi kebiasaan kepada bangsa Arab mensabitkan jernih dan bersih ini dengan sifat gigi yang putih. Ada pendapat pula mengatakan ia berkaitan dengan perkataan al-Habab, iaitu air hujan yang turun menderu dan meluap dengan lebatnya.

Oleh yang demikian, boleh disimpulkan bahawa al-Mahabbah adalah gejolak dan luapan hati seseorang yang mendambakan kasih sayang dan ingin bersama mereka yang dicintainya. Selain daripada itu, ia juga bermaksud tenang dan teguh sebagai unta yang sentiasa tenang meskipun diarah dan dicambuk untuk bersegera.

Ada sebuah novel karangan Sasterawan Negara Prof Emeritus Dato’ Dr Haji Shahnon Ahmad yang diberi judul Mahabbah dan pernah dahulu sebuah fikem Bollywood menjadi fenomena dan tajuknya adalah Mohabbatein. Dimensi Mahabbah Pak Shahnon berlainan dengan dimensi Mohabbatein meskipun keduanya ada kaitan dengan al-Mahabbah.

Keluasan penguasaan empayar Islam pada masa silam tidak memustahilkan banyak istilah sudah diindiakan atau dimelayukan bagi kesesuaian penggunaan setempat.

Kisah Nabi Musa dan al-Mahabbah

Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuh-Ku dan musuhnya dan Aku telah tanamkan daripada kemurahan-Ku perasaan kasih sayang (مَحَبَّةً۬) orang terhadapmu dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasan-Ku.” (Surah Taaha, ayat 39)

Peristiwa ini adalah rentetan daripada Firaun yang berasa takut akan takbir mimpi oleh ahli nujum istana bahawa akan lahir seorang lelaki daripada bani Israel yang akan memusnahkan kerajaannya.

Dek kerana itu, arahan membunuh semua anak lelaki yang baru dilahirkan dikeluarkan oleh Firaun. Pada masa yang sama, bonda Nabi Musa a.s. sedang mengandungkan baginda. Beliau berjaya menyorok kandungannya sehingga saat Nabi Musa a.s. dilahirkan, Allah memerintah ibu Nabi Musa a.s. melakukan sebagaimana yang tersebut dalam ayat di atas.

Pastinya sebagai seorang ibu, yang mengetahui ada ancaman bunuh akan bayinya oleh algojo Firaun yang melata adalah suatu perkara yang sangat menakutkan. Dalam masa yang sama, pasti juga dirinya tidak mampu untuk menyorokkan bayi yang baru lahir itu.

Bayi yang masih kecil itu dihanyutkan dalam sebuah bakul sebagaimana yang diperintahkan, tiada lain hanya doa kepada Allah yang mampu si ibu lakukan. Sebagaimana ketetapan Allah, bakul berisi bayi masuk ke dalam kawasan sungai istana dan dijumpai oleh permaisuri Firaun.

Menyedari bahawa bayi lelaki sudah diwartakan bunuh oleh Firaun, si permaisuri merayu damba agar dibenarkan anak itu dipelihara sementelah mereka tidak mempunyai anak dan kerana kasihnya Firaun akan permaisurinya itu, maka dituruti kehendaknya.

Kuasa al-Mahabbah asbab sebenar keruntuhan kerajaan Firaun

Sebagaimana tercatat dalam al-Quran mengenai kisah Nabi Musa a.s. yang boleh dikatakan sebagai kisah kembara yang panjang dan indah serta padat dengan ibrah, tiada siapapun yang terduga... bayi yang dimaksudkan akan meruntuhkan kerajaan agung Firaun yang mengaku tuhan itu adalah anak angkatnya yang dibelanya di istana sendiri.

Boleh dibuat kesimpulan, bahawa al-Mahabbah menjadi senjata yang akhirnya berjaya meranapkan keegoan seorang raja agung yang mengaku tuhan itu dalam dua keadaan:
  1.  Sifat mahabbah si permaisuri kepada si anak kecil yang dijumpai
  2. Sifat mahabbah Firaun terhadap isterinya yang meminta anak itu tidak dibunuh
Sesuai dengan maksud firman Allah dalam ayat di atas, “...Aku telah tanamkan daripada kemurahan-Ku perasaan kasih sayang (مَحَبَّةً۬) orang terhadapmu...” . Maha Suci Allah yang mampu menjadikan apa sahaja sebagai senjata bagi menolong hamba-hamba-Nya yang salih.

Tuesday 13 November 2012

Travelog Rindu Cinta - Bab 2 : Ketahui Istilah-istilah Cinta


HEBAT tidak hebat satu perasaan yang dinamakan cinta itu, nyata terserlah apabila ia mampu dikaitkan dengan pelbagai istilah lain. Ya, sepanjang sejarah kemanusiaan sama ada dalam rujukan agama-agama dunia, elemen dan sifat serta kisah bersabit dengan cinta sentiasa maujud.

Sebut sahaja kitab apa? Kitab-kitab agama Hindu seperti Ramayana, Mahabrata… kitab-kitab agama Buddha, Singh dan agama samawi seperti Taurat, Zabur dan Injil termasuk al-Quran, ada membicarakan soal cinta sama ada secara khusus mahupun umum. Ini tidak termasuk sekalian banyak novel yang khusus menjadikan cinta sebagai tema sepanjang sejarah penovelan itu sendiri.

Malah digambarkan bahawa cinta pertama di muka bumi ini adalah cinta antara Adam dan Hawa yang kemudian bertaut kembali selepas memohon kemaafan kepada Allah setelah melakukan kesalahan memakan buah Khuldi di syurga.

Atas nama cinta yang kemudian menerbitkan cemburu, maka terjadinya pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan iaitu antara Habil dan Qabil. Atas nama cinta, Yusuf digoda dan dianiaya sehingga lebih rela mendekam dalam penjara. Atas nama merebut cinta daripada seorang ayah, Yusuf dikhianati oleh saudara tirinya yang lain.

Namun konotasi cinta yang difahami oleh manusia daripada kisah-kisah di atas adalah terlalu cetek dan dangkal bagi dikaitkan dengan kisah-kisah agung dalam al-Quran itu. Kerana al-Quran, demi kemuliaan dan kemukjizatannya tidak akan sama dengan kitab agama lain malah tidak pernah setaraf dengan kitab-kitab samawi sebelumnya. Apatah lagi novel-novel dan penulisan cinta oleh manusia.

Kisah-kisah dalam al-Quran wajar difahami dengan cara kefahaman yang sudah Allah terangkan dalam al-Quran sendiri melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) ia bukan cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusuf, ayat 111)

Istilah-istilah cinta….

Sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. dalam kitabnya Raudatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqin, antara istilah yang berkait dengan cinta (al-hubb) menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. adalah: 

Al-Mahabbah (kasih saying), al-‘Alaqah (cinta, hubungan, segumpal darah), al-Hawa (hasrat, nafsu, keinginan), al-Shawah (kerinduan), al-Sabahah (kerinduan yang halus), al-Syaqaf (cinta yang mendalam), al-Miqat (cinta), al-Wajd (cinta yang disertai kesedihan), al-Kalaf (cinta yang mendalam), al-Tatayyum (perhambaan), al-‘Isyq (cinta yang meluap-luap), al-Jawa (cinta yang membara)...

Al-Danaf (sakit kerana cinta), al-Syajw (cinta yang berakhir dengan kesedihan atau kegelisahan), al-Syauq (rindu), al-Khilabah (cinta yang menipu), al-Balab (kegelisahan), al-Tabarih (cinta yang memuncak), al-Sadam (cinta dengan penyesalan dan kesedihan), al-Ghamarat (bodoh, lalai dan mabuk), al-Wahl (takut, gementar), al-Syajan (memerlukan), al-La’ij (hangus, terbakar), al-Ikti’ab (merana kerana sedih), al-Washab (derita cinta)...

Al-Hazan (kesedihan), al-Kamad (kesedihan yang terpendam dalam hati), al-Ladz’u (terbakar dek api), al-Huraq (gejala cinta), al-Suhd (susah tidur), al-Araq (tidur tidak lena), al-Lahf (sedih), al-Hanim (kerinduan, belas kasih), al-Istikharah (tunduk, menyerah), al-Tabbalah (derita cinta), al-Lau’ab (terbakar kerinduan), al-Futun (cubaan, ujian), al-Junun (gila, tidak waras), al-Lamam (setengah gila), al-Khabl (binasa), al-Rasis (teguh, tegar), al-Da’ul Mukhamir (penyakit yang merasuk)...

Al-Wudd (kasih yang tulus), al-Akhullah (satu cinta), al-Khilm (sahabat), al-Gharam (cinta yang diperlukan), al-Huyam (sangat dahaga), al-Tadliyah (gila, hilang ingatan), al-Walah (tidak waras dan bingung) dan al-Ta’abbud (penghambaan).

Ya, kita katakan jika seseorang itu benar-benar seorang pencinta sejati, mungkin semua istilah ini boleh dihafal dan difahami maknanya secara istilah dan syarah oleh mereka tanpa masalah!